Rabu, 27 Desember 2017

KASIH SAYANG IBU

Ibu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerna mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting sekali.         
Sebenarnya, nilai kasih sayang seseorang ibu tidak dapat diukur dengan uang. Ibu yang peka dan penyayang akan senantiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan anak dengan sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak.
Seorang ibu sanggup berkorban untuk kepentingan masa depan anak supaya menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.          Sebaliknya, jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita.
Anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah dadah, jenayah dan maksiat.          
Malangnya, pada zaman sekarang, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di desa pedalaman dalam keadaan yang tidak terurus.
Hidup melarat dan kesepian tanpa anak cucu di sisinya. Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari tersebut, jasa bakti dan usaha ibu selama ini diperkatakan, dikenang dan dihargai.   
Kesimpulannya, kasih sayang ibu akan senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya, syurga anak di hujung telapak kaki ibu.     

(Tulisan Luqman, mahasiswa dari Malaysia yang kuliah di Fakultas Syariah dan Hukum UIN Sumut) 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar